Man United pecah rekod beli Maguire


shadow

LONDON: Harry Maguire menjadi pemain pertahanan termahal di dunia selepas Manchester United menandatanganinya pada harga 80 juta pound (RM409.2 juta) hari ini.

“Manchester United mengesahkan sudah menandatangani Harry Maguire dari Leicester City,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Harry menandatangani kontrak enam tahun, dengan pilihan lanjutan setahun.”

Pemain England berusia 26 tahun itu, dikaitkan dengan kedua-dua kelab Manchester ketika jendela perpindahan musim panas tetapi Leicester menangguhkan penjualan sehingga harganya melebihi nilai 75 juta pound (RM383.7 juta) yang dibayar Liverpool untuk mendapatkan Virgil Van Dijk daripada Southampton pada Januari 2018.

“Saya gembira dapat menyertai kelab hebat ini,” kata Maguire. “Saya juga menikmati karier saya di Leicester dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab dan peminat di atas sokongan padu mereka sepanjang dua musim lalu.

“Bagaimanapun, apabila Manchester United datang mengetuk pintu anda, ia adalah peluang yang sukar dilepaskan.

“Daripada perbualan saya dengan pengurus, saya tertarik dengan visi dan perancangannya untuk pasukan. Ia amat jelas yang Ole (Gunnar Solskjaer) sedang membina pasukan untuk memenangi trofi.

“Saya sekarang tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan baharu dan memulakan musim.” – AFP


Tinggalkan komen anda