Man City juara Perisai Komuniti


shadow


LONDON: Manchester City memberi isyarat awal tentang kempen baharu Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti untuk memenangi Perisai Komuniti di Wembley susulan perlawanan masa sebenar terikat 1-1.

Bekas pemain Liverpool Raheem Sterling meletakkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu di depan pada babak pertama (m-12) dengan Liverpool terus bergelut dengan prestasi hambar ketika pra-musim.

Juara Eropah, Liverpool bagaimanapun bangkit di babak kedua. Mereka menyamakan kedudukan menerusi tandukan Joel Matip pada minit ke-77 dan mencipta beberapa peluang.

Pemain City Kyle Walker menyelamatkan percubaan Mohamed Salah di atas garisan gol ketika permain hampir tamat, dan tanpa masa tambahan perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.

Skuad kendalian Pep Guardiola, yang memenangi treble musim lalu, menyempurnakan kelima-lima sepakan penalti manakala Georginio Wijnaldum menyaksikan sepakannya diselamatkan Claudio Bravo. – REUTERS

Tinggalkan komen anda