Liga Perdana silap besar: Pochettino


shadow

LONDON: Menutup jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris sebelum musim bermula adalah kesilapan besar memandangkan pemain-pemain penting masih lagi diburu oleh kelab-kelab Eropah sebelum jendela perpindahan mereka ditutup bulan depan, kata pengendali Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino.

Jendela perpindahan Liga Perdana untuk kemasukan pemain tutup pada 8 Ogos lalu, sehari sebelum musim bermula, tetapi pemain-pemain masih dibenarkan untuk berpindah ke liga utama lain – termasuk Sepanyol, Jerman dan Itali – sehingga jendela perpindahan Eropah ditutup pada 2 September.

Ia menimbulkan kerisauan buat Pochettino, yang tidak pasti jika perancang utamanya Christian Eriksen akan kekal bersama kelab London itu, dengan media Sepanyol mengaitkan pemain itu ke Real Madrid sebelum tarikh tutup.

“Saya tidak bersetuju (dengan keputusan itu) tetapi buat masa ini mereka percaya yang ia adalah terbaik untuk kelab,” kata Pochettino. “Tetapi saya rasa (pengerusi kelab Daniel Levy) dan ramai lagi yang menyedari ia adalah kesilapan besar.

“Saya harap kita akan memperbetulkan masalah itu menjelang musim depan. Kita perlu kembali dan beroperasi selari dengan cara mereka melakukannya di Eropah kerana ia penting apabila anda bersaing di Liga Europa atau Liga Juara-Juara.

“Pasukan-pasukan Liga Juara-Juara boleh mencetus masalah buat pasukan seperti kami dan ia jelas sekali yang saya tidak mampu gembira sebagai jurulatih apabila dalam tempoh tiga minggu terakhir kelab-kelab dari Eropah boleh menyambar pemain anda.

“Bagi saya ia tidak masuk akal dan kita perlu kembali secepat mungkin.”

Sentimen sama turut disuarakan bos Barcelona Ernesto Valverde yang merasakan ia sedikit sukar apabila skuad tidak dimuktamadkan sebelum musim liga bermula, dan pengendali Atletico Madrid Diego Simeone.

“Saya rasa pengendali-pengendali pasti bersetuju, seperti yang berlaku di England,” kata Simeone. “Mereka semua membentuk skuad sebelum pertandingan bermula.

“Ia sesuatu yang sihat untuk semua orang apabila dapat memberi tumpuan kepada mereka yang akan beraksi.” – REUTERS

Tinggalkan komen anda