Kovac mohon maaf pada Guardiola


shadow
NICO Kovac dan Pep Guardiola.

BERLIN: Jurulatih Bayern Munich, Nico Kovac mengakui awal pagi tadi bahawa dia menghubungi bos Manchester City, Pep Guardiola untuk meminta maaf kerana cuba mendapatkan penyerang kelab England itu dari Jerman, Leroy Sane.

Kovac sebelum ini berkata dia yakin perjanjian boleh dilakukan buat pemain berusia 23 tahun itu, komen yang dikritik presiden kelab itu sendiri, Karl-Heinz Rummenigge yang menyifatkan ia “tidak membantu dalam perundingan.”

“Saya menelefon Pep Guardiola dan memohon maaf kepadanya kerana saya terlalu mendesak, saya akan lebih berhati-hati pada masa depan,” kata Kovac selepas Bayern tewas kepada Tottenham menerusi penalti pada saingan terakhir pramusim.

Minggu lalu Guardiola menggesa Sane membuat keputusan jika dia mahu kekal di kelab juara England itu atau ke Bayern selepas penyerang itu meledak dua gol ketika menang 6-1 mengatasi kelab Hong Kong, Kitchee.

“Dia pemain yang sangat saya hormati, saya sangat menyukainya. Saya rasa dia ada ruang yang hebat untuk dibangunkan, menakjubkan dalam aspek berhubung permainan,” kata Guardiola.

“Lebih daripada itu ia tidak berada dalam tangan saya untuk menentukannya. Jika dia mahu kekal dan mencapai persetujuan, ia adalah bagus, jika dia mahu meninggalkan kelab kami tidak boleh melakukan apa-apa. Saya harap dia kekal.” – AFP

Tinggalkan komen anda