MIAMI: Pemain golf nombor satu dunia, Brooks Koepka dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan PGA Amerika Syarikat (AS) buat tahun kedua berturut-turut, hari ini.
Koepka, yang berjaya mempertahankan Kejuaraan PGA tahun ini, mengatasi Rory McIlroy bagi anugerah itu sekalipun bintang Ireland Utara itu memenangi Kejuaraan Jelajah PGA, semalam.
McIlroy, yang membawa pulang AS$15 juta (RM63 juta) hasil kemenangannya di East Lake, Atlanta, merangkul anugerah berprestij PGA, Trofi Vardon buat kali ketiga.
Trofi Vardon diberikan kepada pemain dengan purata catatan terbaik sepanjang tahun.
Selain Kejuaraan PGA Mei lalu, Koepka turut memenangi Piala CJ di Nine Bridges dan kejohanan Jemputan St Jude-WGC-FedEx.
Pemenang empat gelaran utama itu turut mengungguli senarai hadiah kemenangan musim dan keempat dalam kedudukan Trofi Vardon.
Koepka terlepas peluang menamatkan musim dengan kemenangan pada Kejuaraan Jelajah awal pagi semalam selepas bergelut pada pusingan akhir.
Pemain berusia 29 tahun dari Florida itu mendahului satu pukulan menjelang pusingan akhir namun mencatat dua atas par 72 bagi 18 lubang terakhir ketika McIlroy merangkul kejuaraan. – AFP
Tinggalkan komen anda