Klopp tuntut anak buah lebih tajam berdepan City


shadow
JUERGEN Klopp

GENEVA: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menuntut anak buahnya supaya meningkatkan ketajaman di depan gol ketika bersiap berdepan Manchester City dalam saingan Perisai Komuniti di Wembley, Ahad ini.

Juara Eropah itu ketinggalan selepas jaringan penalti oleh Memphis Depay sebelum Roberto Firmino dan Harry Wilson meletakkan The Reds di depan dan gol sendiri Joachim Andersen memastikan kemenangan  3-1 ke atas Lyon, pagi tadi.

Kemenangan itu mengubati kedukaan Liverpool selepas kalah 0-3 di tangan Napoli yang juga kekalahan keempat mereka dalam aksi pra musim.

“Secara keseluruhannya pemain menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, itulah yang saya mahukan,” kata Klopp.

“Kami ada tiga hari lagi membuat persiapan berdepan City dan selepas itu kita akan lihat apa yang perlu kami lakukan seterusnya.

“Saya tentunya rasa gembira dan pemain perlu beraksi dengan lebih baik untuk menandingi City.

“Man City sudah berbeza dan kamu mesti melawan mereka pada awal musim untuk benar-benar dapat menandinginya, kami belum ada peluang itu lagi.

“Kami perlu menyerap tekanan itu dan hari ini dari sudut psikologi kemenangan itu sangat penting kepada semua pemain.

Firmino kembali menyertai pasukan bersama penjaga gol Alisson dan Mohamed Salah selepas mereka menamatkan komitmen bersama pasukan kebangsaan masing-masing di Copa Amercia dan Piala Negara Afrika, bulan lalu.

Alisson bagaimanapun bolos menerusi penalti sebelum Firmino dan Salah kembali dengan gerakan lincah mereka pada babak pertama.

“Mo nyata cergas dan mampu melakukan larian yang tentunya amat membantu pasukan,” kata Klopp.

Klopp juga mengesahkan trio berkenaan berpeluang disenaraikan untuk berdepan City nanti.

“Saya tidak pasti 100 peratus, tapi mereka ada peluang disenaraikan, mereka akan pasti diturunkan sekali lagi seperti hari ini, tapi pilihan akhir terpulang kepada situasi hari perlawanan nanti.

“Kami perlu melihat perkembangan esok, setakat ini latihan belum mencapai intensiti tinggi lagi, cuma kami perlu benar-benar sedia untuk berdepan perlawanan pertama menentang City,” katanya. – Agensi

Tinggalkan komen anda