Klopp rancang berehat


shadow

BERLIN: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia merancang untuk ‘berehat’ daripada arena kejurulatihan bagi mengecas kembali ‘bateri’ sejurus tempohnya bersama juara Eropah itu berakhir.

Klopp, yang menyertai Reds pada 2015 dengan kontrak sehingga 2022 mengemudi kelab Inggeris itu memenangi gelaran Eropah musim lalu dan menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua di belakang Manchester City.

“Saya mempunyai tenaga yang banyak. Tetapi saya mempunyai satu masalah. Saya tidak boleh melakukannya dengan sedikit-sedikit. Saya hanya boleh melakukannya dengan bersungguh-sungguh atau langsung tidak melakukannya,” kata Klopp kepada majalah Jerman, Kicker.

“Apabila saya memutuskan yang saya tidak akan melakukannya lagi, jadi saya akan mengambil rehat selama setahun.”

Klopp menyertai Liverpool selepas mengharungi kejayaan bersama Borussia Dortmund di mana kelab itu menjulang dua gelaran Bundesliga dan Piala Jerman selain mara ke final Liga Juara-Juara pada 2013.

Liverpool yang tidak memenangi liga domestik sejak 1990 ketika ini memimpin kejuaraan selepas mengutip mata penuh selepas tiga perlawanan, kelebihan dua mata di atas seteru utama City.

Kejayaan di Liga Perdana disamping gelaran Eropah yang dijulang musim lalu akan meletakkan Klopp sebagai jurulatih terbaik Liverpool dalam tempoh beberapa dekad.

“Selepas setahun (rehat) keputusan perlu diambil,” kata pengendali kelahiran Jerman itu. “Tetapi peluang amat tinggi yang tahap tenaga saya akan kembali pilih dan saya boleh melakukan kerja yang saya mahu.”

Klopp terkenal dengan semangat dan tenaga tanpa terhad di garisan tepi padang dengan keterujaannya menyaksikannya berdepan masalah dengan pegawai perlawanan sebelum ini.

Pengendali berusia 52 tahun itu berulang kali dikaitkan dengan skuad kebangsaan Jerman dan gergasi Bundesliga, Bayern Munich sebelum ini. – Reuters

Tinggalkan komen anda