Keyakinan Dovizioso, Ducati meningkat


shadow

LONDON: Selepas meraih kemenangan di Austria, Andrea Dovizioso dan Ducati akan cuba merapatkan jurang mata dengan pendahulu kejuaraan, Marc Marquez di Grand Prix (GP) British, hujung minggu ini.

Perlumbaan di Litar Silverstone terpaksa dibatalkan berikutan takungan air di litar tetapi berpandukan kepada ramalan cuaca, situasi sama dijangka tidak berulang pada persaingan yang sering didominasi Ducati dan Yamaha sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Juara dunia lima kali, Marquez dan Honda juga pasti bertekad untuk membalas dendam kepada Dovizioso yang menafikan kemenangan pelumba kelahiran Sepanyol itu di selekoh terakhir GP Austria, dua minggu lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Dovizioso kini hanya dibezakan dengan 58 mata di belakang Marquez berbaki lapan pusingan perlumbaan.

Kali terakhir Marquez menang di Silverstone adalah pada 2014 dengan pelumba Itali, Dovizioso memenanginya pada 2017.

“Sekali pun karakter Silverstone tidak begitu memberi kelebihan kepada kami seperti di Brno dan Spielberg, kami pernah membuktikan yang kami juga mampu untuk pantas di sana, seperti pada 2017 apabila kami memenangi perlumbaan,” kata Dovizioso.

Tetapi prestasi mengagumkan Marquez pada 2019 tetap menjadikannya sebagai pilihan selepas turut meraih enam kemenangan dan empat kedudukan tempat kedua pada musim ini.

Satu lagi berita baik buat Honda adalah kepulangan semula rakan sepasukan Marquez yang juga juara dunia tiga kali, Jorge Lorenzo, yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan sejak pusingan kelapan di Belanda.

“Bagus untuk kembali lagi ke sini, sudah agak lama sejak Assen. Saya lebih suka untuk kembali lebih cepat, tetapi disebabkan oleh kecederaan ini jadi saya perlu mengambil sedikit masa,” kata Lorenzo yang memenangi perlumbaan di Silverstone pada 2010, 2012 dan 2013. – AFP

Tinggalkan komen anda