Kane sedia bayangi Sterling


shadow

MANCHESTER: Harry Kane kini bersedia untuk mengatasi rakan sepasukan England, Raheem Sterling apabila Tottenham Hotspur bertandang ke laman juara Liga Perdana Inggeris Manchester City esok.

Kane dibelenggu kecederaan buku lali musim lalu, memulakan kempen Liga Perdana dengan hanya rehat tiga minggu selepas memenangi Kasut Emas Piala Dunia.

Dia kembali beraksi pada final pertama Tottenham dalam Liga Juara-Juara dan separuh akhir Liga Negara-Negara bersama England menentang Belanda pada Jun, tetapi tampak belum cukup cergas dan pasukannya tewas dalam kedua-dua perlawanan.

Selepas rehat panjang musim panas tahun ini, dan melangsungkan perkahwinan dengan Kate Goodland, Kane memulakan kempennya dan Spurs dengan cemerlang apabila meledak dua gol dalam tempoh lima minit terakhir untuk menewaskan Aston Villa 3-1 hujung minggu lalu.

“Saya bercuti empat minggu, paling lama sejak beberapa tahun lalu,” kata kapten England itu.

“Saya mengharungi pra-musim yang bagus, saya masih perlu meningkatkan kecergasan dan beberapa perkara lain, tetapi hanya perlawanan akan membantu.”

Dua gol pada aksi pertama musim ini tidak cukup untuk meletakkan Kane sebagai pendahulu senarai penjaring apabila Sterling meledak hatrik untuk City dalam kemenangan 5-0 ke atas West Ham.

Tetapi jika bukan kerana Tottenham, City berpeluang merangkul empat trofi musim lalu namun dikecewakan anak buah Mauricio Pochettino dengan kelebihan jaringan tempat lawan pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

Tanpa kelibat Kane, Son Heung-min mengisi kekosongan itu dengan meledak tiga daripada empat gol pasukannya, tetapi ia mula dirasai menjelang bulan-bulan terakhir musim lalu di mana peluang mengejar City berakhir dengan hanya menduduki tangga keempat liga. – AFP

Tinggalkan komen anda