Jaguh Olimpik Kenya terselamat nahas bas


shadow

NAIROBI, Kenya: Pemegang rekod dunia acara 800 meter, David Rudisha mengalami luka kecil selepas tayar kenderaan yang dipandunya pecah mengakibatkannya terbabas dan melanggar sebuah bas ketika memandu di Lebuhraya Nairobi-Kisumu yang sibuk, semalam.

Polis berkata, ketika kejadian, pemenang dua emas Olimpik yang juga juara dunia itu sedang memandu pulang ke rumahnya di Kilgoris, barat Kenya apabila dia terbabas dan terlanggar bas di laluan bertentangan lebuhraya berkenaan selepas tayar kenderaannya tiba-tiba meletup.

“Rudisha dikejarkan ke Hospital Keroka dan doktor yang merawatnya mengesahkan atlet berkenaan tidak mengalami kecederaan teruk atau patah tulang, dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat,” kata Ketua Polis Keroka, Walter Abondo.

Rudisha, 30, mencipta rekod dunia acara 800m dunia dengan catatan 1 minit 40.91 saat ketika Olimpik London 2012 tetapi tidak menyertai kejohanan besar selepas itu susulan kecederaan lutut dan kesakitan belakang yang dialaminya.

Namun dia kini sedang memulakan latihan ringan sebagai persiapan menyertai Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Rudisha sebelum ini mengambil keputusan berehat semusim pada 2013 hingga 2014 namun kembali bangkit memperagakan kehebatan dengan mempertahankan pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016.

Pada Kejohanan Olahraga Dunia di Doha bulan depan, Rudisha diberikan ‘wild card’ namun dia dikatakan belum bersedia untuk ujian kelayakan di Nairobi yang berlangsung pada 12 dan 13 September ini.  – AFP

Tinggalkan komen anda