Inter setuju Bayern pinjam Perisic


shadow

BERLIN: Bayern Munich menandatangani Pemain sayap Croatia, Ivan Perisic secara pinjaman selama setahun bernilai £4.6 juta (RM23 juta) dari Inter Milan.

Juara Bundesliga itu berkata, mereka mempunyai pilihan menandatangani pemain berusia 30 tahun itu secara tetap selepas tempoh pinjaman tamat pada 30 Jun 2020.

Perisic menjadi sasaran Bayern selepas gagal mendapatkan Callum Hudson-Odoi yang menyambung komitmen bersama Chelsea dan Leroy Sane yang mengalami kecederaan ketika menentang Liverpool dalam aksi Perisai Komuniti.

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata: “Ivan akan membantu kami menerusi pengalaman luasnya dalam saingan tertinggi. Dia mempunyai teknik yang bagus dan juga boleh beraksi di bahagian serangan. Saya yakin dia akan pantas menyesuaikan diri kerana dia amat mengenali Bundesliga dan juga jurulatih kami, Niko Kovac.”

Bercakap selepas melengkapkan perpindahan itu, Perisic berkata dalam laman web kelab: “Saya sangat gembira kembali ke Jerman, FC Bayern salah satu kelab terbesar di Eropah. Kami akan teruskan taktik menyerang bukan sahaja di Bundesliga dan Piala DFB malah Liga Juara-Juara.”

Sebelum ini, Perisic beraksi bersama Borussia Dortmund di antara 2011-2013 sebelum menyertai Wolfsburg dan berpindah ke Inter pada 2015.

Dia juga mengenali Kovac ketika mereka bersama pasukan kebangsaan Croatia.

Perisic menjaringkan 23 gol dalam 82 penampilan bersama Croatia dan membantu pasukannya mara ke final Piala Dunia tahun lalu. – Agensi 

Tinggalkan komen anda