LONDON: Zlatan Ibrahimovic percaya dia cukup bagus untuk bermain di Liga Perdana dan berjenaka Manchester United tahu cara untuk menghubunginya jika kelab itu berhasrat mendapatkan khidmatnya.
Penyerang berusia 37 tahun itu meledak dua gol ketika pertemuan tetangga ‘El Trafico’ minggu lalu yang menyaksikan pasukannya, LA Galaxy terikat 3-3 melawan Los Angeles FC dalam kempen Liga Major America.
Dua jaringan berkenaan menyaksikan pemain kelahiran Sweden itu sudah meledak 22 gol pada musim ini – termasuk enam dalam tiga perlawanan terakhir – dan bekas penyerang Man United itu percaya berdasarkan prestasi semasa, dia mampu untuk bersaing di Liga Perdana.
“Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, jadi jika United mahukan saya, saya berada di sini,” kata Ibrahimovic kepada wartawan sambil tersenyum. “Tetapi Galaxy memiliki saya, jadi saya minta maaf.
“Saya sudah menyempurnakan tugas saya di Eropah. Saya menikmatinya, saya memenangi 33 trofi yang saya bawa bersama saya di sini dan harapnya, saya boleh meraih sesuatu di sini. Dan kemudian kita akan lihat di mana pengembaraan ini berakhir.”
Ibrahimovic menghabiskan dua musim di Old Trafford di antara 2016 dan 2018 dan menjaringkan 29 gol dalam 53 perlawanan.
Tetapi aksinya bersama Red Devils diganggu dengan masalah kecederaan lutut yang serius sebelum perpindahannya ke LA Galaxy dilengkapkan pada Mac 2018.
Dengan United tumbang 1-2 di gelanggang sendiri kepada Crystal Palace, Ibrahimovic yang menyaksikan perlawanan itu berkata tuah tidak memihak bekas pasukannya itu.
“Saya melihat perlawanan itu dan berfikir tuah tidak memihak mereka. Jika mereka menjaringkan penalti, ia perlawanan yang berbeza tetapi perlawanan di England ia tidak akan berakhir selagi ia belum berakhir. Apa saja boleh berlaku, terutama pada minit-minit terakhir di mana segala-galanya berlaku ketika itu.”
Selain itu, Ibrahimovic turut mendedahkan dia ada memberi nasihat kepada bekas rakan sepasukannya, Paul Pogba yang ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Old Trafford.
“Saya bercakap dengannya. Banyak nasihat yang saya berikan, tetapi tiada apa yang saya ingin kongsi kepada anda.” – Agensi
Tinggalkan komen anda