KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mempertahan tindakannya menyenaraikan Ahmad Hazwan Bakri untuk menyertai latihan pusat Harimau Malaya bermula Ahad ini.
Tindakan bekas pengendali Kedah itu memanggil Hazwan dipertikai beberapa pihak kerana pemain itu dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Cheng Hoe menjelaskan, faktor kekurangan penyerang tempatan yang benar-benar berkualiti menjadi antara faktor beliau terpaksa memberi peluang buat Hazwan yang dianggap mampu menyumbang sesuatu buat Harimau Malaya.
Malah, beliau percaya pemain berusia 28 tahun itu memiliki aura sentuhan berbisa di depan gol walaupun dianggap tidak mendapat minit permainan yang mencukupi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Kalau ada (penyerang) yang lebih bagus takkan saya tak nak panggil. Kami bagi peluang kepada Hazwan kerana dia juga adalah aset atau penyerang untuk pasukan negara, cuma pada saat ini dia kurang dapat peluang beraksi (di JDT).
“Bukan kata dia tak bagus, semua tahu penyerang yang ada di JDT sangat berkualiti. Jadi, ia perkara biasa di mana-mana kelab pun akan menggunakan penyerang utama mereka.
“Pihak pengurusan dan barisan kejurulatih selalu berbincang serta menilai sepenuhnya mengenai pemain yang akan dipanggil, saya bukan buat keputusan seorang diri. Kami juga tidak boleh ikut kehendak hati atau puaskan semua orang,” katanya kepada BH Sukan.
Selain Hazwan, Cheng Hoe turut memanggil empat penyerang lain – Syafiq Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha, Shahrel Fikri Fauzi dan Jafri Firdaus Chew – dalam senarai 27 pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.
Cheng Hoe bagaimanapun menjelaskan semua pemain yang dipanggil masih belum selamat kerana hanya 23 pemain yang akan dipilih selepas aksi persahabatan berdepan Jordan, 30 Ogos ini untuk mengharungi Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula bulan depan.
“Ini peluang terbaik buat semua pemain bersaing merebut tempat dalam skuad kebangsaan terutama mereka yang pertama kali saya panggil iaitu Brendan Gan, J Partiban dan Danial Amier Norhisham,” katanya.
Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan dalam Kumpulan G berdepan Indonesia di Jakarta, 5 September ini sebelum menentang Emiriah Arah Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.
Tinggalkan komen anda