Choong Hann harap tuah bumi Basel


shadow

KUALA LUMPUR: Faktor tuah ada kalanya memainkan peranan penting memacu kejayaan barisan pemain badminton negara dalam sesuatu kejohanan.

Justeru, tuah diharap mengiringi pemain negara pada saingan Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland yang bermula esok selepas undian dilihat tidak menyebelahi mereka kali ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann optimis barisan pemain negara mampu mencipta kejutan menumbangkan lawan yang lebih hebat sekali gus merealisasikan matlamat untuk sekurang-kurangnya meraih pingat.

“Kali ini memang nampak kita memerlukan satu atau dua kejutan besar bagi mencapai matlamat kita (raih pingat). Ia bukan perjalanan yang mudah untuk skuad negara tetapi peluang untuk melakukannya tetap ada.

“Saya percaya pemain sudah bersedia bagi untuk mengharungi kejohanan kali ini dan yang lebih penting mereka juga bersemangat untuk mencipta kejutan menewaskan pemain pilihan,” kata Choong Hann.

Selepas empat hari di Basel, Choong Hann berkata pemain sudah tidak sabar untuk memulakan aksi pada kejohanan berprestij itu dan semakin menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

“Kami sudah dua kali berpeluang untuk menjalani latihan di gelanggang rasmi kejohanan dan ia sesuatu yang positif. Pemain ketika ini sedang menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca, perbezaan masa dan gelanggang.

“Saya percaya dalam tempoh sehari dua ini, mereka semua sudah bersedia sepenuhnya. Semuanya menunjukkan semangat yang tinggi dan teruja untuk memulakan cabaran,” katanya.

Esok, tiga wakil negara akan memulakan kempen di Basel diketuai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia yang bertemu pemain Brazil, Ygor Coelho untuk aksi pusingan pertama.

Pemenang pingat gangsa edisi tahun lalu, Liew Daren turut akan turun ke gelanggang menentang pemain Thailand, Khosit Phetpradab selain beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang berdepan, Bjarne Geiss-Jan Colin Volker.

Tinggalkan komen anda