Cavani, Mbappe cedera


shadow

PARIS: Paris Saint-Germain kehilangan bintang penyerang Edinson Cavani dan Kylian Mbappe akibat kecederaan awal pagi tadi ketika juara Perancis itu terus berdepan masalah walaupun menang 4-0 mengatasi Toulouse.

Skuad kendalian Thomas Tuchel yang tewas kepada Rennes sebelum ini, menyaksikan permulaan musim mereka didominasi masalah perpindahan Neymar.

Pemain Brazil itu sekali lagi tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama di Parc des Princes di sebalik khabar angin perpindahan ke Real Madrid atau kembali ke Barcelona.

Dan Tuchel menyaksikan barisan serangannya mengalami kesukaran selepas Cavani dan Mbappe cedera – sama seperti dihadapi pertahanan tengah Abdou Diallo.

Eric Maxim Choupo-Moting menjaringkan dua gol pada babak kedua selepas masuk menggantikan Cavani, manakala Mbappe juga dikeluarkan akibat kecederaan hamstring.

“Kami akan menunggu sehingga selesai ujian,” kata jurulatih Tuchel. “Ini adalah kecederaan berbeza, dalam aksi yang berbeza.

“Tiada sebab yang pasti, kami perlu melihat dahulu. Saya kecewa kerana kita bercakap mengenainya ketika kami sangat kuat.”

Skuad dari ibu kota itu kini berada tiga mata di belakang pendahulu Ligue 1, Rennes yang mencipta kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan selepas mengatasi Strasbourg 2-0. – AFP

Tinggalkan komen anda