Bayern, Dortmund rebut Piala Super Jerman


shadow

BERLIN: Bayern Munich meneruskan perebutan kuasa dengan Borussia Dortmund awal pagi Ahad ini dalam saingan Piala Super Jerman dengan skuad Bavaria itu sedang mengejar bintang Manchester City, Leroy Sane bagi memperkuatkan skuad mereka.

Saingan pembuka tirai Bundesliga membabitkan Dortmund itu sekali lagi menemukan kelab utama Jerman selepas Bayern menahan cabaran hebat Dortmund seterusnya meraih gelaran ketujuh liga pada hari terakhir musim lalu.

“Ini adalah gelaran pertama yang amat penting buat kami,” kata bintang Bayern, Thomas Mueller dua minggu sebelum bermula musim baharu Bundesliga.

“Perlawanan ini ada kehebatan tersendiri. Kami mahu menunjukkan bahawa kami sudah bersedia – kami akan bermati-matian bagi mendapatkannya.”

Seperti dikatakan pertahanan Niklas Suele, Bayern “mahu menunjukkan petanda” mereka kekal sebagai pasukan perlu ditewaskan di Jerman.

Dortmund juga membentuk pasukan yang kuat, mereka menandatangani pemain sayap, Thorgan Hazard dan Julian Brandt – dengan Brandt diketepikan kerana kecederaan – dan memancing Mats Hummels dari Bayern bagi memperkuatkan pertahanan.

Ketika Bayern menambah pemain juara Piala Dunia, Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard, pemain sayap City, menjadi bintang utama dimahukan mereka.

Menurut laporan, Bayern sudah menyediakan sekitar 90 juta euro (RM414 juta) yang akan menjadi rekod buat kelab itu.

Malah mereka juga dilaporkan hanya akan mengambil foto rasmi pasukan pada September dengan harapan pemain berusia 23 tahun itu dapat menyertai mereka ketika itu. – AFP

Tinggalkan komen anda