Anak Harimau tak gentar Australia


shadow

KUALA LUMPUR: Sekalipun Australia bergelar gergasi bola sepak di Asia namun status terbabit jelas langsung tidak ‘menggerunkan’ pemain skuad Bawah 18 tahun negara (B-18) menjelang final Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Stadium Thong Nhat, malam ini.

Wira negara pada perlawanan separuh akhir, Harith Haiqal  Adam Afkar menegaskan mereka sedia untuk ‘melanggar’ Australia dengan memberi tentangan yang hebat sekali gus memastikan gelaran juara kekal menjadi milik negara.

“Bagi final nanti, kita tidak boleh memandang rendah pihak lawan walaupun kami memenangi aksi terdahulu dengan keputusan 3-0. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, memang ada beberapa pemain Australia yang perlu diberi perhatian.

“Tetapi saya dan barisan pertahanan yang lain akan berusaha keras bagi menyusahkan pemain Australia pada perlawanan akhir nanti,” katanya.

Sebagai rekod, tandukan Harith pada minit ke-98 memastikan tiket final menjadi milik Malaysia selepas jaringan penaltinya pada minit ke-84 membantu mengikat kedudukan kepada 3-3 apabila skuad negara ketinggalan menerusi dua jaringan pantas Indonesia.

Sementara itu, seorang lagi pemain tengah, Muhammad Umar Hakeem Suhar Redzuan menuntut rakan sepasukannya supaya dapat menunjukkan semangat dan keinginan yang sama seperti diperagakan pada aksi separuh akhir, kelmarin.

“Tiada ada pun yang berbeza untuk aksi final nanti namun kita perlu meneruskan prestasi seperti yang sudahpun dilakukan sepanjang kita berada di sini.

“Tengok lambang di dada dan bermain bermati-matian demi negara. Saya berpuas hati dengan persembahan sepasukan namun kita perlu menambahbaik beberapa kelemahan yang ada pada aksi final nanti,”  katanya.

Tinggalkan komen anda