Alif Ashraf teruja sertai Kem Master VR46 di Itali


shadow

KUALA LUMPUR: Muhammad Alif Ashraf Tahiruddin sama sekali tidak pernah terfikir untuk menyertai Kem Master VR46 di halaman lagenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi di Tavullia, Itali pada 4 hingga 8 September ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang menyertai kelas CP115 dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia itu tidak menjangka namanya berada dalam lima pelumba muda dari Asia Tenggara dan Amerika Utara yang tersenarai untuk kem berkenaan.

Katanya, peluang keemasan itu tentu akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha menambah baik prestasinya dalam arena permotoran.

“Tentunya saya gembira dan teruja,” kata pelumba berusia 17 tahun dari Pantai Dalam, di sini.

“Saya tak pernah terfikir untuk menyertai kem ini dan saya akan menimba sebanyak mana ilmu di sana nanti.”

Selain Alif, tiga lagi pelumba dari Asia Tenggara yang dipilih adalah Suttipat Patchareetorn, Sawapol Nillapong dari Thailand dan McKinley Kyle Paz, Filipina. Jake LeClair dari Kanada menjadi wakil tunggal Amerika Utara.

“Kami sangat gembira untuk melihat tahap pelumba ini kerana kami banyak mendengar perkara positif mengenai mereka,” kata pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Rossi.

“Jujurnya, kami akan memberi latihan yang keras kepada mereka dan mereka akan keletihan selepas setiap sesi dan hari. Namun, saya pasti mereka akan menikmati setiap minit latihan itu kerana jadualnya penuh dengan aktiviti menyeronokkan.

“Kedua-dua pembelajaran di trek dan di luar trek adalah sangat penting buat muka baharu ini, bagi membantu karier perlumbaan mereka. Akademi VR46 akan membimbing mereka dalam setiap sesi. Saya harap peserta baharu ini dapat mengerah sepenuh keringat mereka nanti.”

Untuk rekod, antara pelumba muda negara yang pernah menyertai kem ini adalah Muhammad Akid Aziz pada 2017 dan Kasma Daniel Kasmayudin, setahun sebelum itu.

Tinggalkan komen anda