ZURICH: Semi finalis tahun lalu, Ajax Amsterdam terikat seri tanpa jaringan ketika menentang APOEL Nicosia dalam perlawanan timbal balas pertama playoff Liga Juara-Juara, di Stadium Neo GSP, pagi tadi.
Slavia Prague pula menang 1-0 ke atas kelab tuan rumah Romania, Cluj hasil gol tunggal Lukas Masopust sekali gus mencerahkan peluang ke perlawanan peringkat kumpulan.
Club Bruges juga menang 1-0 ke atas kelab Austria, LASK Linz.
Ajax membariskan tujuh muka lama (kecuali Matthijs de Ligt dan Frenkie de Jong) yang meyaksikan mereka dikejutkan oleh kebangkitan saat akhir Tottenham Hotspur di separuh akhir Mei lalu.
Meskipun bermula garang, namun tuan rumah dihampakan dengan kecekapan penjaga gol, Andre Onana sebelum Ajax terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika berbaki 10 minit apabila Noussair Mazraoui dilayangkan kad merah.
Pemain kelahiran Jordan, Musa Suleiman kerap menekan Ajax dan hampir meletakkan APOEL di depan pada babak pertama namun rembatannya sedikit tersasar.
APOEL menggandakan asakan selepas rehat yang menyaksikan Onana menangkis cubaan Lucas Souza sebelum menyelamatkan satu lagi cubaan betul-betul di atas garisan gol manakala tandukan Andrija Pavlovic terkena palang.
Suleiman sekali lagi hampir menemui sasaran disusuli cubaan Souza yang pantas dinafikan Onana dengan menguis bola keluar.
Mazraoui dilayangkan kad kuning kedua susulan terjahan ke atas pemain lawan namun Ajax mampu bertahan daripada dibolosi hingga ke penamat saingan.
Ajax akan menunggu kunjungan APOEL untuk aksi kedua di Amsterdam Rabu depan. – Reuters
Tinggalkan komen anda