Adrian ganti Mignolet di gawang Reds


shadow

LONDON: Liverpool menandatangani bekas penjaga gol West Ham, Adrian susulan perpindahan Simon Mignolet ke kelab Belgium Club Bruges, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Mignolet sebahagian daripada skuad Liverpool ketika menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu dan pemain 31 tahun itu menamatkan karier enam tahun di Anfield yang menyaksikan 200 penampilan dalam semua pertandingan.

Adrian, 32, yang meninggalkan West Ham akhir musim lalu, akan bersaing merebut tempat sebagai penjaga gol utama dengan Alisson.

“Saya bercita-cita tinggi, saya datang ke sini untuk memenangi kesemuanya, merebut minit pertama daripada Ali dan menjadikan kami lebih baik,” kata Adrian.

“Jelas sekali saya mahu memenangi gelaran. Saya datang ke sini untuk bersaing dalam semua pertandingan… saya tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama di Anfield dan memenangi sebanyak mungkin perlawanan.”

Selepas 22 penampilan dalam semua pertandingan pada kempen 2017-19, Mignolet hanya beraksi dua perlawanan musim lalu selepas kedudukannya dirampas Alisson dari Brazil.

Penjaga gol berasal dari Belgium itu menyertai Bruges untuk kontrak lima tahun. Mignolet memulakan kariernya bersama kelab Belgium STVV dan berpindah ke Sunderland pada tahun 2010 sebelum menyertai Liverpool tiga tahun kemudian.

Liverpool akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini bertemu Norwich City Jumaat ini. – REUTERS

Tinggalkan komen anda