Toto Wolff berang krew Mercedes leka


shadow
Aksi Hamilton (kiri) pada Grand Prix Jerman yang berlangsung semalam. – Foto EPA

HOCKENHEIM, Jerman: Bos pasukan F1 Mercedes, Toto Wolff berang dengan persiapan dan tindak balas pasukan itu selepas dua pelumbanya, Lewis Hamilton gagal mengutip mata manakala Valtteri Bottas terkeluar dari saingan di Grand Prix Jerman yang berlangsung dalam hujan semalam.

Wolff, yang mengenakan pakaian retro 1950-an bagi meraikan ulang tahun 125 tahun pasukan itu dalam F1 mengakui pasukannya tidak bersedia dan melakukan kesilapan.

Pengurus kelahiran Austria itu jelas hampa dan berang dengan keputusan GP Jerman itu.

Perlumbaan 64 pusingan itu dimenangi pelumba muda Belanda, Max Verstappen yang membantu Red Bull meraih kemenangan kedua manakala pelumba tuan rumah, Sebastian Vettel (Ferrari) kedua manakala Daniil Kvyat (Toro Rosso), ketiga.

Juara Dunia lima kali, Hamilton, yang dilanda selesema menamatkan perlumbaan di tangga ke-11 selepas dua kesilapan dan enam kali memasuki pit manakala rakan sepasukan, Bottas terbabas di hujung perlumbaan.

Bagaimanapun kedudukannya berubah di tangga kesembilan apabila pemandu Alfa Romeo, Kimi Raikkonen dan Antonio Giovinazzi masing-masing dikenakan penalti 30 saat susulan melanggar peraturan di garis permulaan.

Bagi Mercedes, ia perlumbaan ke-200 sebagai pengeluar, namun kecewa apabila tidak dapat meraikan kejayaan di gelanggang sendiri selaku tuan rumah dan penaja utama.

“Banyak pemandu terbabas, secara keseluruhan ia hari malang buat kami, ia tidak boleh jadi lebih teruk,” kata Wolff.

“Ini bermakna kamu tidak boleh leka. Kamu mesti fokus dengan kerja. Kami tidak percaya kepada pantang larang, tapi kami yakin ini adalah satu karma dan ia hari tepat untuk belajar.

“Saya rasa kami bermula dengan baik. Kemudian berdepan insiden, pelumba terbabas dalam situasi mengelirukan, kemudian silap buat panggilan.”

Ditanya mengenai panggilan mengarahkan Hamilton memasuki pit, Wolff  berkata: “Dia tidak bernasib baik, terlanggar ketika memasuki lorong pit. Kami tidak bersedia. Kami melakukan kesilapan selepas itu. Ia berlaku serentak.”

“Banyak pasukan juga melakukan kesilapan sama. Leclerc terbabas dan pelumba lain juga.”

Hamilton mengakui ia hari paling malang buat dirinya sepanjang karier sebagai pelumba.

“Ia hari paling teruk buat saya sejak sekian lama. Kita hidup kena belajar. saya tidak tahu apa yang berlaku hari ini, tapi saya bangga ia sudah berakhir dan banyak lagi perlumbaan perlu dihadapi selepas ini dan kami akan bangkit.”

Dia bagaimanapun berkongsi kegagalan berkenaan sejak kes pelanggaran dengan rakan sepasukan Nico Rosberg ketika selekoh pertama di GP Sepanyol pada 2016 yang menyaksikan Verstappen menaiki podium pertama ketika penampilan sulung mewakili Red Bull. 

“Melanggar tembok tidak membantu begitu juga dengan arahan menukar tayar licin,” katanya. – AFP

Tinggalkan komen anda