Ronaldinho dilanda masalah kewangan


shadow

MAHKAMAH di selatan Brazil melarang bekas penyerang Barcelona, Ronaldinho menjual 57 hartanah miliknya disebabkan tidak membayar denda alam sekitar dan beberapa hutang lain, lapor akhbar Brazil, hari ini.

Akhbar Folha de S Paulo melaporkan Pemain Terbaik Dunia itu berhutang sebanyak 9.5 juta reais (RM10.4 juta) dalam bentuk denda alam sekitar belum dijelaskan selepas membina laluan jambatan ke tengah laut tanpa kebenaran di Porto Alegre.

Pihak bank juga sudah mengambil tindakan untuk mendapatkan semula hutang lain sebanyak 7.8 juta reais (RM8.5j), menurut Folha.

Pihak berkuasa turut merampas pasport Ronaldinho sehinggalah kes itu selesai, kata akhbar itu lagi.

Hakim di Porto Alegre menyifatkan kes terletak di bawah peraturan rahsia perundangan, tidak mengesahkan atau menafikan laporan akhbar terbabit.

Peguam Ronaldinho menafikan aset pemain terbabit disekat tetapi memberitahu akhbar itu dia tidak boleh mengulas lanjut.

Penyerang berusia 39 tahun itu bersara daripada bolasepak pada 2015 selepas beraksi selama beberapa musim di Brazil dan Eropah.

Dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA ketika beraksi bersama Barcelona dan menang Piala Dunia FIFA bersama Brazil pada 2002.

-myMetro

Tinggalkan komen anda