Malaysia tewaskan Jerman


shadow
SKUAD hoki lelaki negara mengalahkan Jerman 4-2 dalam perlawanan ujian di Krefeld, awal pagi tadi. – Foto twitter MHC

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kemenangan motivasi selepas skuad hoki lelaki negara mengalahkan Jerman 4-2 dalam perlawanan ujian di Krefeld, awal pagi tadi.

Anak buah Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berjaya mendahului seawal minit keenam, selepas Razie Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Gol itu menjadi pencetus semangat kepada pasukan negara, dengan terus menguasai perlawanan pada suku masa kedua dan mendapat gol kedua melalui Faizal Shaari pada minit ke-13.

German merapatkan kedudukan selepas Tom Grambusch menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti dan kedudukan mendahului itu kekal sehingga tamat suku akhir ketiga. 

Dua lagi gol kemudiannya dijaringkan Shahril Saabah (minit ke-53) dan Azuan Hasan (minit ke-55) sebelum Jerman mendapat satu lagi gol di minit terakhir perlawanan melalui Timm Herzbruch.

Malaysia akan bertemu Sepanyol pada perlawanan ujian kedua pada 29 Julai. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda