Guardiola tak pasti masa depan Sane


shadow
PEMAIN Manchester City, Leroy Sane. – Foto REUTERS

HONG KONG: Pengurus, Pep Guardiola mengakui masa depan Leroy Sane sebagai pemain Manchester City bukanlah di bawah kawalannya ketika spekulasi mengaitkan kepulangan pemain antarabangsa Jerman itu ke negara asalnya semakin bertambah.

Sane, yang menyertai City dari Schalke pada 2016, menjadi sasaran perpindahan buat Bayern Munich sepanjang musim panas dan Guardiola berazam mengekalkan pemain berusia 23 tahun itu di Stadium Etihad.

“Saya sangat menyukainya, saya rasa dia ada peluang menakjubkan untuk menjadi lebih baik, menakjubkan dalam aspek lebih banyak terbabit dalam permainan,” kata Guardiola selepas Sane menjaringkan dua gol ketika kemenangan 6-1 City mengatasi pasukan Hong Kong, Kitchee semalam.

“Saya rasa saya sudah berkata dua atau tiga kali, kami mahu terus mengekalkannya. Kami mahu dia kekal, kerana itu dia menunggu tawaran lebih daripada setahun bersama ejennya untuk menyambung kontrak.

“Ia bukan di tangan kami atau di tangan saya. Dia perlu membuat keputusan sama ada mahu kekal dan melihat jika perjanjian kami bagus. Jika dia akan meninggalkan kelab, kami akan bersedih, tapi apa yang kami boleh lakukan? Saya harap dia kekal.”

Perlawanan di Hong Kong buat pasukan Liga Perdana itu adalah yang ketiga buat City dalam seminggu sejak tiba di Asia.

Mereka akan melengkapkan jelajah di Jepun Sabtu ini apabila akan berdepan Yokohama F Marinos, pasukan yang sebahagiannya dimiliki syarikat induk, City Football Group. – AFP

Tinggalkan komen anda