Djokovic tarik diri dari Kanada Masters


shadow
NOVAK Djokovic.

MONTREAL: Juara Wimbledon dan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic menarik diri daripada kejohanan pemanas badan Terbuka Amerika Syarikat di Montreal, dengan berkata beliau perlukan lebih masa untuk berehat selepas merangkul kemenangan Grand Slam ke-16.

Pemain Serbia berumur 32 tahun itu menewaskan Roger Federer dalam pertemuan final epik di Kelab All-England awal bulan ini, menyertai pemain ranking 12 dunia dari Argentina, Juan Martin Del Potro yang juga menarik diri daripada kejohanan Kanada Masters ATP.

“Saya meminta maaf kerana memutuskan untuk menarik diri daripada Piala Rogers,” kata Djokovic dalam satu kenyataan dikeluarkan Tenis Kanada. 

“Dengan sokongan daripada pasukan saya, saya memutuskan untuk berehat lebih lama dan masa untuk pemulihan sebelum kembali bermain.

“Saya sukakan Kanada dan saya mempunyai ramai kawan di sana yang sering membuat saya seperti di rumah sendiri dan saya tidak sabar untuk kembali ke sana bermain di Montreal.”

Keputusan itu memberikan bintang Sepanyol, Rafael Nadal, juara perseorangan Grand Slam sebanyak 18 kali, diletakkan sebagai pemain pilihan utama di Montreal dengan undian utama akan berlangsung 5 Ogos ini. 

Nadal merangkul empat kemenangan di Kanada, dengan terbaru menewaskan Stefanos Tsitsipas di final tahun lalu.

Djokovic memenangi kejohanan di Kanada itu yang diadakan bergilir-gilir antara Toronto dan Montreal sebanyak empat kali, dua kali di Toronto pada 2012 dan 2016 serta Montreal pada 2007 dan 2011. – AFP

Tinggalkan komen anda